Perlu Wali Walaupun Status Janda
Video ini hanyalah Hiasan. Tidak ada kena mengena
dengan artikel yang dikongsikan di sini
Kahwin semula masih perlu wali
Soalan:
Saya seorang janda dan kini ingin berkahwin semula. Tempoh idah sudah lama berlalu. Masalahnya saya tidak mempunyai wali kerana semuanya sudah meninggal.
Begitupun, saya ada sepupu lelaki sebelah ayah yang berusia lebih 80 tahun ke atas dan agak pelupa orangnya. Bagaimana saya perlu menyelesaikan masalah wali ini?
- Soraya Bakar
Kota Bharu, Kelantan
Jawapan:
Terdapat pandangan bahawa seseorang janda mempunyai lebih hak tentang perkahwinannya daripada walinya. Mengenai perkahwinan semula seorang janda, surah al-Baqarah ayat 232 menyatakan:
Terdapat pandangan bahawa seseorang janda mempunyai lebih hak tentang perkahwinannya daripada walinya. Mengenai perkahwinan semula seorang janda, surah al-Baqarah ayat 232 menyatakan:
Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis idahnya, maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya, apabila terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang maruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari kemudian. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
Namun, Seksyen 13 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 menyatakan bahawa persetujuan wali diperlukan agar sesuatu perkahwinan itu diakui sah oleh undang-undang Islam di Malaysia.
Oleh kerana wali merupakan salah satu rukun perkahwinan menurut Mazhab Shafi'i, adalah perlu untuk memastikan bahawa orang yang menjadi wali sesuatu perkahwinan itu adalah wali yang sebenarnya.
Senarai keutamaan wali nasab adalah dinyatakan dalam perenggan 4(d) Jadual Keempat kepada Enakmen di Kelantan. Wali abaad (wali yang jauh) tidak berkuasa menjadi wali sekiranya wali akrab (wali yang lebih dekat) masih hidup dan berupaya menjadi wali, iaitu wali akrab itu bukannya kanak-kanak, tidak gila atau cacat akal, tidak fasik dan tidak menganuti agama lain.
Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002, Jadual Keempat menyenaraikan susunan keutamaan orang-orang yang berhak menjadi wali iaitu: bapa, datuk sebelah bapa, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara sebelah bapa yang seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa yang yang sebapa dan seterusnya.
Jika puan sudah mencari wali mengikut tertib keutamaan seperti yang dinyatakan di atas, maka sepupu lelaki sebelah bapa tersebut mestilah saudara lelaki bapanya yang seibu sebapa atau saudara lelaki bapa yang sebapa.
Sekiranya keadaan pelupanya agak serius, beliau mungkin tidak layak mewalikan perkahwinan tersebut.
Seterusnya, puan perlulah memulakan permohonan untuk wali raja supaya mewalikan pernikahan puan.
Permohonan hendaklah dibuat ke Mahkamah Syariah di Kota Bharu oleh sebab puan bermastautin di sana.
Nota:
Perbezaan pendapat antara mazhab Hanafi dan mazhab Sunni yang lain mengenai soal perwalian nikah adalah kerana ayat-ayat suci al-Quran dalam hal ini tidak menyatakan dengan jelas sama ada kehadiran atau persetujuan wali adalah syarat yang perlu bagi melangsungkan perkahwinan seseorang gadis yang dewasa.
Antara hadith yang dirujuk oleh mazhab Hanafi ialah:
Dari Aisyah bahawa seorang gadis berjumpanya dan berkata bapa gadis itu telah mengahwinkannya kepada anak saudaranya supaya kepapaannya dialihkan darinya. Aisyah menyuruh gadis itu tunggu.
Apabila Nabi Muhammad s.a.w mendengar aduannya, beliau menyuruh memanggil bapanya. Beliau kemudian di hadapan bapa gadis itu membenarkan gadis itu berkahwin mengikut pilihannya.
Kemudian gadis itu berkata: "Ya Nabi! Sesungguhnya saya membenarkan apa yang telah dibuat oleh bapa saya. Saya tidak ada niat lain selain dari membolehkan kaum perempuan tahu bahawa mereka mempunyai kuasa yang penuh atas diri mereka dalam perkara itu." (Nasai, al-Sunan, Karachi Jilid 2 di ms. 6)
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm#ixzz5cHVYEIMs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Comments
Post a Comment